Sunday, June 28, 2009

Isu PPSMI: Dipertikaikan atau Dirungkaikan?

(1) Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah menjadi kegusaran sebahagian besar masyarakat sejak tahun 2002. Banyak yang telah dipertikaikan tentang dasar PPSMI semasa ia dilaksanakan pada tahun 2003. Ramai mempersoalkan kesan terhadap perlaksanaan dasar ini. Ada yang berpandangan PPSMI akan menjejaskan kesinambungan budaya bangsa. Justeru kelompok ini menggesa kerajaan memansuhkan pelaksanaan PPSMI. Ada juga yang menggembar-gemburkan perlaksanaan PPSMI lantaran perlaksanaannya akan menghancurkan dan memusnahkan bahasa ibunda masing-masing. Ada pula yang menyatakan pelajar dan guru menjadi mangsa pelaksanaan PPSMI.

(2) Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selepas enam tahun, pelaksanaan dan sumbangan PPSMI terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris (BI) di kalangan pelajar-pelajar sejak tahun 2003 adalah sebanyak 2.0 peratus hingga 3.0 peratus. Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahawa tahap kompetensi dan profisiensi BI guru yang rendah memudaratkan prestasi para pelajar.

(3) Semasa menunaikan tanggungjawab sebagai pensyarah sampingan, saya pernah berbincang dan memperoleh sedikit sebanyak gambaran keadaan PPSMI daripada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah yang berbeza. Mereka menceritakan apa yang berlaku dalam kelas PPSMI ialah guru yang tidak fasih dalam BI terpaksa mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam BI. Walaupun sumber dan buku rujukan PPSMI dalam BI, namun guru masih mengajar dalam bahasa ibunda (sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Cina). Kadang-kala pelajar-pelajar hanya disuruh mencatat nota dari papan hitam sahaja tanpa sebarang penjelasan. Mereka terpaksa menelaah subjek tersebut dari kelas tuisyen. Namun begitu, pelajar-pelajar yang berkongsi pengalaman mereka dengan saya juga menyuarakan hasrat mereka supaya subjek Sains dan Matematik dapat diajar dalam BI. Jika ini merupakan keadaan sebenar yang berlaku di kalangan para pelajar dan guru PPSMI, bagaimanakah prestasi subjek BI, Sains dan Matematik dapat dipertingkatkan?

(4) Saya berpandangan bahawa punca utama keberkesanan dan pencapaian PPSMI yang rendah hari ini lantaran ia telah dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang terperinci, tanpa menyelidik keupayaan guru, tanpa mengkaji sama ada sumber-sumber dan infrastuktur untuk PPSMI yang mencukupi dan tanpa mengambil pendapat dari pakar bahasa tempatan.

(5) Kebanyakan guru yang bertugas dalam melaksanakan dasar PPSMI tidak mempunyai kompetensi BI yang secukupnya dan tidak berkualiti. Ini menjadi faktor utama keputusan PPSMI yang dilaksanakan selama enam tahun ini tidak menyumbangkan kepada peningkatan prestasi BI mahupun Sains dan Matematik. Ramai guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam BI. Ini turut menyebabkan kualiti subjek-subjek ini merosot.

(6) Dalam perlaksanaan dasar PPSMI, usaha-usaha menangani masalah kompetensi guru atau masalah-masalah lain yang telah diutarakan sepatutnya diberi keutamaan. Dasar PPSMI sepatutnya menggesa dan memberi peluang kepada semua pihak untuk berusaha ke arah meningkatkan penguasaan BI dengan adanya perancangan yang sistematik, terutamanya guru, memandangkan peranan mereka dalam sistem pembelajaran.

(7) Persoalannya, apakah keberkesanan program untuk melatih dan memantapkan guru dari segi profisiensi BI di maktab-maktab perguruan yang sedang dijalankan untuk meningkatkan tahap BI di kalangan guru sendiri? Dalam tempoh enam tahun perlaksanaan dasar, adakah perancangan dari aspek guru membuahkan hasil?

(8) Akhir-akhir ini, Kementerian Pelajaran mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan masing-masing mengenai cadangan mata pelajaran BI sebagai wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jika ia dilaksanakan, maka calon SPM perlu lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan SPM. Cabaran kepada cadangan baru ini ialah bagaimana memantapkan kaedah pengajaran dan melahirkan guru BI yang berkualiti. Penyelidikan dan perbincangan mendalam, analisa pakar bahasa dan infrastuktur yang sedalam-dalamnya memainkan peranan penting dalam cadangan ini.

(9) Keputusan PPSMI akan diumunkan tidak lama lagi. Saya berpandangan Kementerian Pelajaran tidak boleh menentukan penerusan PPSMI dengan hanya berdasarkan pencapaian pelajar yang tidak ketara dalam subjek BI, Sains dan Matematik di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata lantaran ini membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Adalah tidak adil dan wajar jika kita menilai dasar PPSMI berdasarkan tempoh yang singkat. Beberapa soalan yang perlu dipertengahkan di sini. Walau bagaimanapun, kini tibalah masanya untuk memperbetulkan keadaan ini. Masalah dan isu yang belum diselesaikan berkaitan dengan PPSMI perlu dirungkaikan dan bukannya dipertikaikan lagi.

No comments:

Post a Comment