Sunday, June 28, 2009

Janganlah bercanggah dengan Kebenaran, YB!

(1) Isu perbalahan samada istilah “Influenza A (H1N1)” atau “selsema babi” patut digunakan oleh semua pengamal media di Malaysia telah dicetuskan semasa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim mencadangkan semua pengamal media di Malaysia menggunakan istilah “selsema babi” bagi menggantikan istilah “Influenza A (H1N1)”.

(2) Biarpun Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican menegaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menggantikan istilah ‘swine flu atau selsema babi’ kepada istilah “Influeza A (H1N1)” sejak 29 April 2009 yang lalu dan istilah “Influenza A (H1N1)” patut digunakan oleh semua pengamal media di Malaysia lantaran wabak Influenza A (H1N1) adalah virus jenis BARU yang mempunyai gabungan tiga faktor iaitu manusia, burung dan babi. Kementerian Penerangan dan sesetengah pengamal media tetap mengunakan istilah “selsema babi” apabila menyebarkan kemas kini penularan wabak ini.

(3) Tidakkah tindakan ini bercanggah dengan kebenaran dan menambahkan lagi kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia?

(4) Apakah Dr. Rais, seorang pemegang ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dari King’s College London, tidak mempunyai kepercayaan dalam kualifikasi dan kekompetenan juruhebah Bahasa Malaysia (BM) di Malaysia dalam penyebutan istilah pandemik ini? Dr. Rais berpendapat ‘selsema babi lagi mudah disebutkan dan tidak mengelirukan”, adakah ini bermaksud kelayakan para juruhebah BM kita tidak kompeten?

(5) Apakah Dr. Rais, seorang yang berpeluang untuk berpendidikan tinggi, mahukan rakyat Malaysia di luar bandar menerima informasi yang berbeza daripada fakta yang diketahui oleh rakyat Malaysia di bandar mahupun seluruh dunia? Apakah Dr. Rais mencurigai kemampuan rakyat Malaysia di luar bandar memahami isu sains dan perubatan? Apakah ini mentaliti yang boleh membawa semua rakyat Malaysia ke mercu kejayaan seiring dengan Visi 2020?

(6) Jika influenza A (H1N1) disebut sebagai ‘selsema babi’, apakah mesej dan impak keberbahayaan wabak ini dapat disebarkan dengan tepat? Jika ketepatan mesej tidak dapat disebarkan dengan wajar dan patut, bagaimanakah Kementerian Penerangan dapat memantau samada mesej yang disiarkan oleh pengamal media itu jitu?

(7) Kita perlu mengamalkan penggunaan nama saintifik Influenza A ini yang sebenarnya dan selaras dengan dunia sejagat. Apakah para pengamal media masih tetap dengan penggunaan istilah yang berbeza daripada semua media utama di seluruh dunia? Pihak media harus mengembalikan kewibawaan media sebagai penyebar informasi yang berlandaskan kebenaran.

(8) Media bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyebarkan berita harian tetapi juga memikul peranan yang kritikal dalam meringani ketidakselesaan di kalangan rakyat terutumanya semasa negaranya sedang membanteras dan menghadapi ancaman sesuatu wabak. Media dapat meredakan kekeliruan orang ramai jika mesej yang disampaikan itu jitu, sesuai dan patut. Pandemik ini akan terus menimbulkan kekhuartiran jika media masih menggunakan istilah “ selsema babi” bagi menggantikan istilah “Influenza A (H1N1)”.

(9) Stesen televisyen yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar seharusnya menangani isu kerisauan ini bukan setakat dari segi penyebutan istilah yang lancar dan senang tetapi juga fakta sebenarnya yang dimaklum dan diamalkan oleh WHO dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia.

(10) Selepas Menteri Kesihatan Dato’ Sri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican tampil untuk menjelaskan logik penggunaan nama saintifik Influenza A (H1N1), Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim mengatakan beliau membiarkan pengamal media memutuskan istilah mana yang akan digunakan di media dan baru-baru ini pula, beliau mencadangkan penggunaan kedua-dua istilah digunakan semasa pihak media melaporkan tentang pandemik ini.

(11) Yang dikhuatiri kini bukanlah setakat penjelasan-penjelasan yang diberikan oleh Dr. Rais dalam menjustifikasikan cadangan-cadangan beliau, tetapi juga ketidaktentuan yang ditunjukkan oleh Dr. Rais, selaku Menteri, dalam membuat keputusan dan menyelesaikan kekeliruan yang ditimbulkannya.

(12) Janganlah bercanggah dengan kebenaran, Yang Berhormat!

No comments:

Post a Comment